Saturday, March 31, 2007


PERSEPSI SALAH TERHADAP NEGARA ISLAM TELAH TERUNGKAI SATU PERSATU - TUAN HJ. MOHD SABU

Pada masa dahulu Islam sering diberi gambaran salah oleh penjajah British yang diikuti oleh parti pemerintah Barisan Nasional yang mewarisi tampuk pemerintahan selepas kemerdekaan. Antara persepsi tidak benar yang disering dilemparkan kepada Islam ialah kemunduran, penindasan terhadap wanita dan penafian hak terhadap masyarakat bukan Islam.

Inilah salah satu perkara yang telah disebut oleh Tuan Haji Mohd Sabu, Naib Presiden Pas pada Majlis Penerangan Pas Kawasan Kelana Jaya 29 Mac yang lalu. Program yang dianjurkan oleh Lajnah Penerangan dan Dakwah Pas Kawasan Kelana Jaya dengan kerjasama Dewan Pemuda Pas Kawasan Kelana Jaya itu telah diadakan di Markaz Cawangan Kg. Lindungan bertujuan untuk memberikan penerangan berkenaan isu semasa kepada penduduk di sekitar Parlimen Kelana Jaya.

Menurut Hj. Mohd Sabu lagi kini segala persepsi salah terhadap Islam ini telah terbukti tidak benar dan ianya tidak lagi menjadi senjata yang ampuh bagi Barisan Nasional untuk menyekat kemaraan Pas di negara ini. Oleh itu jelas beliau cara terbaru yang digunakan oleh Umno dan Barisan Nasional dalam menghadapi kemaraan Pas dan Pakatan Alternatif ialah dengan menyempitkan saluran demokrasi. Turut disentuh oleh beliau yang juga Pesuruhjaya Pas Pulau Pinang pada malam itu ialah berkenaan dengan amalan rasuah dan penyalahgunaan kuasa yang kini semakin berleluasa hingga ke peringkat BPR sendiri.

Turut berucap pada malam itu ialah Yang Dipertua Pas Kawasan Kelana Jaya yang juga Ketua Penerangan Badan Perhubungan Pas Negeri Selangor, Sdr Roslan Shahir Bin Dato’ Mohd Shahir yang banyak menyentuh berkenaan isu-isu di Negeri Selangor. Program ceramah yang berakhir Jam 11.30 Malam itu telah berjalan dalam keadaan lancar dan terkawal walaupun tanpa kehadiran ramai anggota pasukan keselamatan.

Sunday, March 18, 2007

RIADAH DAN DEMONSTRASI.



Siang tadi telah diadakan rehlah pemuda bertempat di pantai perkelahan Bagan Lalang Selangor. Rehlah yang pertama diadakan bagi tahun 2007 ini bertujuan untuk merapatkan ukhwah sesama ahli memandangkan Pemuda Kelana telah menerima kehadiran ahli-ahli baru sejak akhir tahun yang lalu. Program yang mengambil masa tidak sampai sehari ini telah diisi dengan acara sukan dan jamuan.

Siang tadi juga telah berlangsung satu demonstrasi aman bagi membantah kenaikan kadar tol anjuran Gabungan Memprotes Kenaikan Tol (Protes) bertempat di pusat membeli-belah Summit USJ. Sebaik sahaja selesai program rehlah, kami terus bergegas ke USJ, Subang Jaya untuk menyertai demonstrasi yang dianjurkan. Namun begitu adalah sesuatu yang mengecewakan apabila demonstrasi yang bertujuan untuk menyuarakan rintihan rakyat ini berakhir dengan penangkap lima orang penunjuk perasaan. Setiba sahaja kami di lokasi, begitu ramai anggota polis dan pasukan penguatkuasa MPSJ memenuhi sekitar Summit USJ termasuk helikopter polis yang berlegar-legar di ruang udara USJ. Ketika itu kami mendapat tahu bahawa beberapa orang telah pun di bawa ke balai polis.

Apa yang ingin kami kongsi di sini semasa dalam perjalanan untuk cuba menyusul mereka yang ditahan. Di USJ 6 telah terjadi satu kemalangan jalanraya. Apa yang menghairankan tiada satu pun anggota polis yang ditempatkan di situ, yang ada hanyalah kon polis. Bagi kami ianya berkemungkinan kerana semua anggota polis telah dikerah untuk menghalang penganjuran demonstrasi di USJ 1 . Apa yang dapat kami simpulkan daripada isu ini ianya menunjukkan betapa takutnya golongan pemerintah terhadap usaha-usaha untuk memastikan agar isu kenaikan kadar tol ini terus tersemat di hati rakyat sehingga menjelangnya pilihanraya umum akan datang. Oleh itu selain daripada demonstrasi, usaha-usaha bagi menyedarkan rakyat tentang kenaikan kadar tol dan juga kenaikan-kenaikan yang lain ini haruslah diteruskan misalnya melalui pengedaran risalah kepada masyarakat.

Saturday, March 17, 2007

PARLIMEN KELANA JAYA SEKALI LAGI AKAN MENJADI TUMPUAN PEMBANTAH KENAIKAN KADAR TOL ESOK.

Setelah berlangsungnya demonstrasi membantah kenaikkan kadar Tol di Bandar Sunway pada 7 Januari yang lalu, Esok sekali lagi Gabungan Memprotes Kenaikan Tol (Protes) akan turun ke Parlimen Kelana Jaya untuk membantah dan memberi penerangan kepada orang ramai tentang kenaikan kadar Tol.

Program anjuran gabungan NGO dan parti politik ini akan di adakan di pusat membeli-belah Summit USJ, Subang Jaya bermula Jam 4 Petang. Untuk itu kami DPPKJ menyeru kepada semua khususnya masyarakat di sekitar Parlimen Kelana Jaya agar bersama-sama turun untuk membantah serta menyampaikan risalah penerangan berkenaan tindakan kerajaan yang menindas rakyat ini.

Bagi kami usaha-usaha ini perlu diteruskan agar ianya terus 'panas' sehingga menjelangnya pilihanraya umum akan datang. Untuk makluman lanjut anda boleh merujuk laman web Harakahdaily.