Wednesday, February 27, 2008

BEGINILAH JADINYA JIKA BN TERUS MENANG.

Pada September 2006 yang lalu di blog ini kami pernah memaparkan berkenaan banjir kilat yang sering berlaku di jalan utama PJS 6 Kg. Lindungan yang terletak dalam Dun Seri Setia. Pemandangan di bawah ini telah diambil di tempat yang sama pada petang tadi sejurus selepas hujan lebat. Ini membuktikan bahawa Barisan Nasional khususnya di Dun Seri Setia ini masih gagal untuk menyelesaikan masalah banjir yang sering menimbulkan kesulitan kepada penduduk serta pengguna jalan utama di PJS 6 ini.





SEKITAR PENAMAAN CALON DI PARLIMEN KELANA JAYA.

Barisan Alternatif telah meletakkan Nik Nazmi Nik Ahmad daripada PKR di Dun Seri Setia dan Yeow Tseow Suan daripada DAP di Dun Subang Jaya bagi menghadapi calon Barisan Nasional secara satu lawan satu. Manakala di Parlimen Kelana Jaya, Gwo-Burne Loh daripada PKR akan menghadapi persaingan tiga penjuru dengan calon Barisan Nasional dan seorang calon bebas.














Friday, February 22, 2008

GANDINGAN MANTAP CALON PAS SELANGOR BAGI MEMULIHKAN NEGERI SELANGOR.

Sebentar tadi bertempat di Seksyen 7, Shah Alam. dengan slogan "Selangor Maju, Bersih dan Berkebajikan" Badan Perhubungan Pas Negeri Selangor telah mengisytiharkan calon-calon yang bertanding dalam Pilihanraya Umum ke-12 bagi menentang Barisan Nasional di Selangor. Calon dikemukan terdiri daripada gabungan profesional dan ulama' yang dilihat mampu untuk mengambil alih pentadbiran Negeri Selangor daripada Barisan Nasional;


Parlimen

P.093 Sungai Besar
Dr Osman Sabran, 59
Timbalan Pesuruhjaya PAS Selangor 2
Bekas Pensyarah UiTM, Skudai, Johor.Syariah (PhD)

P.095 Tanjong Karang
Mohamed Hanipa Maidin, 40
AJK PAS Pusat
Ijazah Undang-undang, UIA

P.096 Kuala Selangor, 52
Dr Dzulkefly Ahmad
AJK PAS Pusat
PhD Toxicology

P.101 Hulu Langat
Dr Che Rosli Che Mat, 57
Bekas Pensyarah UKM
PhD Sains Nuklear

P.108 Shah Alam
Khalid Abd Samad, 51
Timbalan Pesuruhjaya PAS Selangor 1
Ijazah Kejuruteraan Bahan Api

P.111 Kota Raja,
Dr Siti Mariah Mahmud, 50
AJK PAS Pusat
Ijazah Perubatan

P.113 Sepang
Ir Mohamed Makki Ahmad, 53
Ahli Perniagaan
Ijazah Jurutera


Dewan Undangan Negeri (Dun)

N.01 Sungai Air Tawar
Ustaz Azrulhakim Suradi, 33
Pendidik Diploma Syariah

N.02 Sabak
Ustaz Sallehen Mukhyi, 41
Ketua Pemuda PAS Selangor
Pendidik
Ijazah Quran dan Sunnah

N.03 Sungai Panjang, 59
Ustaz Mohd Fadzlin Taslimin
Yang Dipertua PAS Kawasan Sungai Besar
Diploma Pengajian Islam

N.05 Hulu Bernam,
Haji Abdul Sukor Ali 61
Ijazah Sosiologi

N.08 Sungai Burong,
Ustaz Abdul Ghani Samsudin 62
AJK PAS Pusat
Bekas Pensyarah
Ijazah Pengajian Islam

N.12 Jeram
Hairi @ Maruji Darmo, 62
4 Senawi

N.15 Taman Templer
Mohamad Abdul Rahman, 48
Arkitek
Ijazah Senibina

N.17 Gombak Setia
Dato' Dr Hasan Mohamed Ali, 61
Pesuruhjaya PAS Selangor
PhD Perancang Bandar
bekas Adun Sungai Burong dan Ahli Parlimen

N.18 Hulu Kelang
Hj Saari Sungib, 51
Ketua Penerangan PAS Selangor
Ijazah Kejuruteraan

N.20 Lembah Jaya, 46
Khasim Abdul Aziz
SPM

N.21 Chempaka
Iskandar Abdul Samad, 47
Timbalan Pesuruhjaya PAS Selangor 3
Arkitek
Ijazah Senibina

N.23 Dusun Tua,
Mohd Sany Hamzan 32
Ketua Penerangan Pemuda PAS Selangor
Ijazah Sains Politik

N.26 Bangi
Dr Shafie Abu Bakar, 66
PhD Pemikiran Islam
bekas Pensyarah UKM
bekas Adun Bangi

N.29 Seri Serdang,
Ahmad Azam Ahmad 54
Pendidik
Ijazah Matematik

N.38 Paya Jaras
Mohd Khairuddin Othman, 37
Peguam
Ijazah Undang-undang

N.42 Meru
Dr Abd Rani Osman, 50
Yang Dipertua PAS Kawasan Kapar
Doktor
Ijazah Perubatan

N.45 Selat Klang
Dr Halimah Ali, 48
Doktor
Ijazah Perubatan
AJK Dewan Muslimat PAS Pusat

N. 51 Sijangkang
Dr Ahmad Yunus Hairi, 43
Doktor
Ijazah Perubatan
Yang Dipertua PAS Kawasan Sijangkang

N.53 Morib
Dr Mohammad Sallehuddin Hafiz, 51
Doktor
Ijazah Perubatan

N.54 Tanjong Sepat
Ir Mohd Haslin Hassan, 40
Jurutera
Ijazah Kejuruteraan

Thursday, February 21, 2008

ISU UNDI, PILIHANRAYA DAN WAKIL RAKYAT.
Oleh Ustaz Zaharuddin Abdul Rahman.

Pilihanraya adalah suatu proses meraih sokongan dan keyakinanan rakyat bagi membolehkan seseorang calon dipilih mengetuai sesebuah kawasan-kawasan tertentu atau organisasi-organisasi tertentu, dengannya juga dipilih pimpinan sesebuah negara.

Adakah proses ini terdapat di zaman Nabi s.a.w ? Yang nyata, bentuk yang ada hari ini sememangnya tiada terdapat di waktu pemerintahan Baginda Rasululallah s.a.w.

Namun begitu, ini tidak semestinya menjadikannya sebagai haram, Islam melihat perkara ini kepada maqasid atau maksud sesuatu pelaksanaan itu dibuat.

Ia berbeza dengan hal ehwal ibadat yang tidak perlu dikaji hikmah tersirat bagi sesuatu pergerakan ibadah. Undi dan pilihanraya adalah tergolong dalam bab muamalat ( urusan hubungan manusia dengan manusia ) yang diberikan kelonggaran di dalam Islam yang mana penentuan hukumnya adalah berdasarkan hikmah dan objektif yang ingin dicapai.

Syeikh Dr Yusof Al-Qaradawi di dalam kitab beliau "Fiqh Awlawiyyat fi Dhaw Al-Quran wa AS-Sunnah" pernah menegaskan kepentingan untuk memahami Maqasid berbanding hanya terikat dan memegang buta kepada nas zohir semata-mata. (rujuk bab Kepentingan Maqasid atas Zohir ).

Pilihanraya

Lalu dalam hal ini, maksud pilihanraya dan undi yang utama adalah proses melantik pimpinan yang diyakini rakyat, dipercayai dan disenangi rakyat untuk diberi tugasan dan amanah pentadbiran kawasan dan negara.

Sikap Islam dalam hal ini adalah jelas membolehkannya kerana ia hanyalah bentuk-bentuk dan alat bagi mencapai Maqasid as-Shariah, iaitu Negara yang mempunyai pemimpin, bukankah mempunyai pemimpin itu satu kewajiban.

Manifesto & Kempen

Rasulullah s.a.w semasa di permulaan dakwah juga melakukan kempen bagi menerangkan kepada rakyat Mekah malah luar Mekah agar meyakini baginda dan seterusnya menganut Islam. Justeru proses kempen adalah diterima dalam Islam selagi mana ia tidak berbohong melaluinya. Di zaman ini, amat perlu bagi rakyat untuk meneliti manifesto dan bukan hanya terpesona dengan rupa wajah calon bertanding serta kandungan percakapannya semasa kempen.

Manifesto sepatutnya menjadi penentu utama samada kita diharuskan untuk mengundi seseorang calon itu atau tidak. Ia ibarat perlembagaan calon dan parti yang bertanding. Mungkin kita menemui manifesto yang menawan hati namun selepas itu track record serta kemampuan peribadi calon perlu diperhatikan pula.

Tidak wajar juga, untuk kita hanya menilai manifesto serta calon berdasarkan penilaian aqal serta material semata. Kerana sesuatu yang baik di sisi aqal dan mata kita kemungkinan sahaja tidak baik di sisi Allah swt, demikian sebaliknya. Bukalah hati dan iman bagi berperanan menentukan pilihan kita yang amat penting ini.

Memang benar, calon yang berkualiti perlu dititik beratkan, namun dalam konteks Malaysia hari ini, kehebatan calon sahaja tidak cukup untuknya berperanan, kerana ia akan terikat dengan manifesto partinya. Kerana itu, manifesto serta dasar parti perlu dilihat selain kemampuan calon.

Perlu diingat bahawa Islam meletakkan pertimbangan utama undian atau kesaksian tidak boleh kerana selain dari Allah swt sebagaimana firman Allah :

وَأَشْهِدُوا ذَوَيْ عَدْلٍ مِّنكُمْ وَأَقِيمُوا الشَّهَادَةَ لِلَّهِ ذَلِكُمْ يُوعَظُ بِهِ مَن كَانَ يُؤْمِنُ بِاللَّهِ وَالْيَوْمِ الْآخِرِ وَمَن يَتَّقِ اللَّهَ يَجْعَل لَّهُ مَخْرَجًا

Ertinya : ...persaksikanlah dengan dua orang saksi yang adil di antara kamu dan hendaklah kamu tegakkan kesaksian itu karena Allah. Demikianlah diberi pengajaran dengan itu orang yang beriman kepada Allah dan hari akhirat. Barang siapa yang bertakwa kepada Allah niscaya Dia akan mengadakan baginya jalan ke luar. ( At-Talaq : 2)

Selain itu, tidak boleh pula rakyat tidak keluar mengundi sedangkan ia berkemampuan sebagaimana tidak harus saksi-saksi enggan memberikan penyaksian sebagaimana firman Allah terutamanya apabila diminta untuk membantu proses keadilan dan kebaikan.

وَلاَ تَكْتُمُواْ الشَّهَادَةَ وَمَن يَكْتُمْهَا فَإِنَّهُ آثِمٌ قَلْبُهُ وَاللّهُ بِمَا تَعْمَلُونَ عَلِيمٌ

Ertinya : ...dan janganlah kamu (para saksi) menyembunyikan persaksian. Dan barang siapa yang menyembunyikannya, maka sesungguhnya ia adalah orang yang berdosa hatinya; dan Allah Maha mengetahui apa yang kamu kerjakan."


Amat jelas serta terang lagi nyata, sikap Islam terhadap penyaksian dalam hal hutang dan lain-lain isu yang berkaitan urusan muamalat sesama manusia (yang meliputi undian dan pilihanraya) adalah HARUS malah mungkin sampai ke tahap wajib menyertainya dan keluar mengundi apabila keengganan itu boleh menyebabkan ketewasan calon yang membawa manifesto yang menjurus ke arah kejayaan dunia dan akhirat.

Penentu peribadi bagi calon sudah tentulah agama, pemikiran dan perjuangan seseorang calon itu. Kita tidak mahu bertanggung jawab kelak di akhirat kerana menaikkan calon yang menyukai kemaksiatan dan kederhakaan kepada Allah s.w.t.

Nabi s.a.w menyebut :-

Ertinya : "Orang yang menunjukkan (membawakan) ke jalan kebaikan akan mendapat pahala sebagaimana orang yang melakukannya"

Demikian juga hadis :-

Dari Abu Hurairah r.a katanya, sabda Rasulullah s.a.w : Barangsiapa yang mengajak kepada petunjuk maka baginya dari pahala sama seperti pahala orang yang mengikutinya tanpa mengurangkan dari pahala orang yang mengikutinya sedikit pun, barangsiapa yang mengajak kepada kejahatan maka keatasnya dosa sama seperti orang yang mengikutinya tanpa mengurangkan sedikit pun dosa orang yang mengikutinya.


Undi kita termasuk dalam kategori hadis ini, jika kita mengundi calon baik dan dasar baik, hasilnya mereka mampu melakukan yang baik, maka kita turut mendapat keberkatan dan hasil pahalanya. Jika sebaliknya, kita juga menanggung akibatnya di barzakh dan akhirat. Berhati-hatilah saudara dan saudari, jangan sampai kita mendapat DIVIDEN DOSA berterusan akibat tindakan kita sendiri, iaitu undi.

Saksi

Oleh kerana kita yang mengundi dianggap sedang menjadi saksi terhadap calon atau parti calon dan manifesto calon. Justeru sebagai saksi kita tidak boleh mengundi secara sembrono, kita WAJIB menjadi saksi yang adil lagi amanah. Bagaimana caranya?

Jawapnya, kita wajib menilai apa yang terdapat disekeliling kita mengikut neraca Islam pertamanya dan realiti keduanya. Cuba perhatikan samada LIMA (5) asas utama yang perlu dijaga telah dijaga, iaitu Agama, Nyawa, Maruah dan keturunan, Harta. Perhatikannya dari sudut kehendak Allah swt, kerana itulah yang bakal ditanya di alam barzakh dan akhirat kita. Bukan penilaian dari kacata mata yang sama seperti George Bush.

Selepas penilaian, kita ibarat di mahkamah untuk 'testify against' atau 'support'. Saya hanyamemberikan panduan umum, keputusan di tangan anda.

Undi

Kaedah mengundi bagi urusan pilihanraya, adalah diterima oleh Islam memandangkan ia merupakan satu perkara baru dalam hal keduniaan serta tiada nas qat'ie yang melarang.

Selagi lagi diingatkan kaedah yang disebut oleh Imam As-Syatibi ertinya :

"Asal dalam urusan mualamat dan adat adalah merujuk kepada ma'ani (maqasid)". (Rujuk Al-Muwafaqat : 2/302).

Maka urusan hubungan politik seperti pilihanraya ini perlulah dilihat kepada maqasid juga, bukan sekadar berhujjah bahawa ia tiada di zaman Nabi ini.

Boleh dikatakan secara ringkas, bahawa Islam tiada masalah dalam menerima kaedah baru ini apatah lagi ia tergolong dalam perkara KESAKSIAN. Firman Allah :


وَأَشْهِدُوا ذَوَيْ عَدْلٍ مِّنكُمْ


Mafhum : "Bersaksilah dengan mereka yang adil dari kalangan kamu"


Undi merupakan satu kesaksian rakyat terhadap pemerintah yang dipilihnya untuk kebaikan diri mereka di dunia dan akhirat.

Walaupun sistem undian wakil rakyat ini boleh diteruskan, namun bagi memastikan ia menepati kehendak Islam ia perlu diletakkan beberapa syarat dan panduan, agar ia bertepatan dengan Islam sepenuhnya.

Ahli Parlimen & konsep ‘Al-Hakimiah Lillah' sewajarnya hanya bertindak seorang pimpinan seumpama gabenor wilayah di zaman khilafah Islam.

Dalam konteks zaman ini, ahli parlimen berkumpul di Dewan Rakyat bagi mewakili rakyat dalam beberapa perkara:

i. Menggubal dan memperbahaskan undang-undang baru.

ii.Mengawasi undang-undang yang digubal.Kedua-dua perkara tersebut adalah termasuk didalam tugas pemerintah di bawah sebuah kerajaan Islam.

Sudah tentu gabenor-gabenor wilayah akan bertindak sebagai ‘ahli al halli wal aqd' iaitu kabinet utama khalifah. Tugasnya juga sama iaitu menggubal undang-undang baru yang tidak ditentukan oleh Allah secara qa'tie dan juga mengawasi undang-undang iaitu amar makruf nahi mungkar.

Cuma titik perbezaan ketara yang WAJIB DIFAHAMI ADALAH, ahli parlimen yang ada hari ini mungkin boleh bertindak menafikan ‘al-Hakimiyah Lillah' iaitu menafikan kuasa perundangan utama dan asas iaitu hak ALLAH. Sistem inilah yang menyebabkan terdapat para ulama semasa yang mengharamkan penyertaan pilihanraya.

Bagaimanapun Al-Qaradhawi berijtihad menyatakan harus menyertainya bahkan wajib jika dengannya boleh mengurangkan mudharat terhadap Islam.. DENGAN SYARAT HANYA MENGAMBILNYA SEBAGAI ALAT, TANPA REDHA DENGAN SISTEM INI, DAN SENTIASA BERUSAHA AGAR DAPAT MENGUASAI SUASANA PARLIMEN AGAR TIDAK MENAFIKAN HAK PERUNDANGAN MILIK ALLAH. [Min Fiqh Ad-dawlah Fil Islam, Al-Qaradawi)

Jangan Menang Undi, Iman Tergadai

Selamat menggunakan seluruh pancaindera kita, terutamanya hati, iman, aqal dan minda dalam menentukan pilihan kita, pilihan kita juga adalah untuk menentukan bentuk Negara di masa akan datang serta untuk anak-anak kita yang tercinta.

Akhirnya, sekali lagi saya mengingatkan, jauhilah rasuah semasa pilihanraya. Kita tidak mahu musim pilihanraya menjadi asbab seseorang itu terhumban di dalam neraka dengan lebih lama. Disebabkan setiap kali pilihanraya rasuah diberi dan diterima, fitnah menjadi mainan, bomoh dirujuk bagi mendapatkan ‘kuasa luar biasa'.

Hasilnya setiap kali pilihanraya berapa ramai yang jatuh syirik, menempah bilik neraka lebih lama dan menjauhkan diri dari Syurga. janganlah jual iman dan nilai diri hanya dengan beberapa ratus ringgit. Fikirkanlah....

Dipetik daripada Laman Web http://www.zaharuddin.net

Wednesday, February 20, 2008

BILLBOARD BEKAS AHLI PARLIMEN KELANA JAYA DISABOTAJ?



Papan iklan yang yang terletak di tepi Lebuhraya Damansara Puchong berhampiran PJS 8 ini menggambarkan kepada kita tentang pergolakan yang berlaku dalam Barisan Nasional di kawasan Kelana Jaya. Dahulu kami pernah mendedahkan tentang papan iklan ucapan Selamat Tahun Baru Cina bekas ahli parlimen ini yang disifatkan sebagai poster kempen pilihanraya yang terbesar sekali.

Rupa-rupanya bekas ahli parlimen Kelana Jaya ini tidak dicalonkan di Parlimen Kelana Jaya untuk penggal ini dan tempat beliau akan digantikan dengan bekas Adun Subang Jaya Datuk Lee Hwa Beng. Maka billboard ini dilihat sebagai salah satu usaha beliau untuk merayu agar dicalonkan semula untuk kerusi parlimen Kelana Jaya ini. Namun malangnya apabila billboard beliau ini telah disabotaj oleh pihak-pihak yang tertentu. Isu ini telah pun keluar dalam berita TV3 sebentar tadi.

Kami DPPKJ telah sempat ke lokasi papan iklan berkenaan dan mendapati bahagian muka beliau pada kedua-dua papan iklan berkenaan telah diconteng dengan bahan yang dipercayai cat. Bagi kami adalah mustahil ianya adalah kerja pembangkang kerana adalah amat sukar untuk memanjat papan iklan yang ketinggiannya hampir menyamai rumah flat lima tingkat ini.
LAGI CERAMAH PEMBANGKANG DIGANGGU POLIS.










Kali ini di PJS 6 iaitu Cawangan Pas Kg Lindungan. Sedangkan penceramah yang dibariskan pada malam itu hanyalah diperingkat PKR Bahagian dan Pemuda Negeri sahaja. Namun bilangan anggota polis yang dihantar pada malam itu mengingatkan kita kepada majlis ceramah yang disampaikan oleh Dato' Dr Hassan Ali pada Febuari tahun lepas di Kg Lindungan apabila bilangan anggota polis yang dihantar seolah-olah akan berlaku satu demonstrasi di sana.

Namun begitu ceramah yang pada mulanya dirancang di tempat letak kereta blok 6 dan kemudian ditukar ke Markaz Pas Cawangan Lindungan ini tetap diadakan malahan terdapat penampilan istimewa pada malam itu apabila Sdr Loh Mui Fah dan anaknya yang telah mendedahkan tentang rakaman klip video VK Lingam turut memberikan ucapan.

Thursday, February 14, 2008

DPPKJ EDAR RISALAH BERKENAAN HARI VALENTINE DI SUNWAY PIRAMID.


Walaupun parlimen telah dibubarkan dan semua parti politik pelbagai sayap sudah semakin sibuk membuat kerja-kerja pilihanraya, namun ianya tidak membuatkan Dewan Pemuda Pas Kawasan Kelana Jaya lupa akan tanggungjawab mereka berdakwah kepada masyarakat khususnya golongan remaja.

Sebentar tadi sempena sambutan Hari Valentine atau Hari Kekasih, DPPKJ telah turun ke Sunway Piramid, mendekati golongan remaja khususnya anak muda Islam memberikan mesej dakwah kepada mereka berkenaaan sambutan Hari Valentine.

Usaha ini dibuat atas kesedaran bahawa masih ramai lagi anak muda Islam di negara ini yang tidak tahu akan di sebalik sambutan Hari Kekasih ini, mereka yang rata-ratanya anak muda berketurunan Melayu ini mudah terikut-ikut dengan budaya barat akibat daripada publisiti oleh pihak media sendiri.

Oleh itu penyebaran risalah ini dapat memberi pendedahan kepada mereka berkenaan bahayanya sambutan Hari Valentine ini kepada generasi muslim. Program yang bermula selepas Isya' telah disambut baik oleh anak-anak muda di situ yang sedia untuk menerima risalah yang dihulurkan dan sudi meluangkan masa untuk membacanya.

Wednesday, February 13, 2008

PEMBUBARAN PARLIMEN DAN PILIHANRAYA UMUM KE-12.

Setelah sekian lama bermain teka-teki akhirnya tengah hari tadi Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi telah pun mengumumkan tentang pembubaran parlimen bagi mengadakan pilihanraya umum kali ke-12. Sehubungan dengan itu Dewan Pemuda Pas Kawasan Kelana Jaya telah pun bersedia untuk menggerakkan jentera sayap pemuda bersama-sama dengan pakatan alternatif iaitu Parti Keadilan Rakyat bagi menghadapi persaingan yang dijangkakan sengit pada pilihanraya kali ini.

Di sini kami Dewan Pemuda Pas Kawasan Kelana Jaya sedia untuk mencurahkan sepenuh tenaga kami walaupun siapa juga yang bertanding bagi berhadapan dengan calon daripada Barisan Nasional. Maka di sini juga kami menyeru kepada masyarakat di Parlimen Kelana Jaya ini agar menggunakan kesempatan ini untuk melakukan perubahan dalam tampuk pemerintahan negara. Negara kita telah dihimpit oleh pelbagai masalah yang serius akibat daripada kelemahan kepimpinan yang ada sekarang ini. Maka pada masa pilihanraya inilah kita harus menggunakan kuasa yang ada pada kita sebagai rakyat untuk menukar parti pemerintah yang ada demi masa hadapan generasi kita akan datang.

Akhir sekali marilah kita sama-sama berdoa agar Allah memberi pertolongan dan seterusnya mengurniakan kemenangan kepada mereka yang berjuang untuk menegakkan Islam serta keadilan di negara ini.

Monday, February 11, 2008

POSTER KEMPEN PILIHANRAYA TERBESAR?




Papan iklan yang terletak di tepi Lebuhraya Damansara Puchong berhampiran PJS 6 dan PJS 8 ini memaparkan ucapan Selamat Tahun Baru Cina daripada seorang Ahli Parlimen Kelana Jaya daripada Barisan Nasional yang dilihat visual ucapan paling besar setakat ini yang dibuat oleh seorang wakil rakyat.

Kami mendapat tahu bahawa kos untuk papan iklan jenis ini pada keseluruhannya boleh mencecah hingga RM 5000. Papan iklan ucapan Selamat Tahun Baru Cina ini dibuat ketika negara sedang diambang pilihanraya umum ke-12. Maka tidak hairanlah jika wakil rakyat daripada Barisan Nasional ini sanggup berhabis hingga ribuan tinggit semata-mata untuk menonjolkan kembali dirinya di tengah-tengah masyarakat di Parlimen Kelana Jaya.

Monday, February 04, 2008

ATAS ARAHAN PIHAK TERTENTU, CERAMAH DATO' SERI ANWAR IBRAHIM DI DESA MENTERI TELAH DIGANGGU OLEH PIHAK POLIS.

Kami Dewan Pemuda Pas Kawasan Kelana Jaya berasa amat kesal dengan gangguan pihak polis terhadap ceramah Dato' Seri Anwar Ibrahim yang dirancang pada tarikh 4 Febuari hari ini.
Kejadian berlaku apabila ceramah pertama telah dimulakan oleh Puan Mastura Muhd, bekas calon Pas bagi Dun Seri Setia pada pilihanraya umum ke-11 telah diganggu oleh Ketua Polis Daerah Petaling (IPD PJ) yang mengumumkan bahawa program ceramah berkenaan tidak mendapat permit dan diisytiharkan sebagai perhimpunan haram.

Akibatnya keadaan manjadi agak tegang, namun ianya dapat dikawal apabila pihak penganjur termasuk Dato' Seri Anwar Ibrahim sendiri mengadakan perbincangan pihak polis. Setelah diadakan perbincangan beberapa kemudian akhirnya polis hanya membenarkan Dato' Seri Anwar berucap dalam masa 20 minit dengan syarat pembesar suara hanya dibenarkan di dalam premis.

Di sini kami DPPKJ tidak nampak bahawa pembatalan permit ceramah ini adalah bertujuan untuk kepentingan dan ketenteraman awam kerana sebaik sahaja pengumuman dibuat oleh Ketua IPD PJ orang ramai telah mula mengerumuni jalan di depan Blok 2 Desa Mentari, akibatnya jalan menjadi sesak dan lalu lintas menjadi tidak terkawal. Sedangkan jika ceramah dibenarkan keadaan akan dapat dikawal kerana orang ramai boleh mengikuti ceramah di padang berhampiran yang disediakan dengan pembesar suara dan skrin layar.

Maka di sini kami percaya bahawa pembatalan permit ceramah ini adalah atas desakan daripada pemimpin Umno dan Barisan Nasional kerana dijangkakan Dato' Seri Anwar dan Pengarah Penyelidikan Pas Pusat, Dr Dzulkifli Ahmad akan memperincikan kepada rakyat tentang bagaimana negara berkebajikan dapat dilaksanakan apabila Barisan Alternatif mendapat mandat dalam pilihanraya umum akan datang. Kami juga dimaklumkan bahawa permohonan permit telah dihantar kepada pihak polis namun tidak mendapat apa-apa jawapan.

Walau bagaimanapun program ceramah malam ini telah memperlihatkan gelombang kebangkitan penduduk di Parlimen Kelana Jaya yang terdiri daripada pelbagai kaum yang bertekad untuk memberikan sokongan kepada Barisan Alternatif pada pilihanraya akan datang.












Sunday, February 03, 2008

CERAMAH PERDANA PARLIMEN KELANA JAYA.

Tarikh : 4 Febuari 2007.

Masa : 9.30 Malam.

Tempat : Pusat Khidmat Masyarakat BA Kelana Jaya.
No. B2-G-29, Tingkat Bawah Blok 3,
Desa Mentari, Jalan PJS 6/5G,
46150, Petaling Jaya.


Penceramah;

Dato' Seri Anwar Ibrahim.
Dr Dzulkifli Ahmad.
Syed Shahir.
Manikavasagam.

SEMUA DIJEMPUT HADIR.