Monday, July 23, 2007

ISU BANTAHAN PROJEK PEMBANGUNAN DI TAMAN REKREASI SUBANG JAYA.

SUBANG JAYA 22 Julai – Bantahan majoriti penduduk Subang Jaya berhubung hasrat sebuah syarikat pemaju hartanah untuk mengorbankan kawasan rekreasi di Taman Subang Ria, di sini menjadi pembangunan komersial akan dibawa ke Mesyuarat Majlis Perbandaran Subang Jaya (MPSJ) dalam tempoh terdekat.

Yang Dipertua MPSJ, Adnan Md. Ikshan, berkata cadangan untuk membangunkan kawasan seluas 29.3 hektar itu secara komersial dengan pembangunan bercampur mendapat bantahan daripada penduduk kerana dikhuatiri merosakkan alam sekitar kawasan tersebut.

‘‘Pada 16 Julai lalu, seramai kira-kira 1,700 penduduk telah hadir pada majlis pendengaran awam bagi meluahkan pandangan dan bantahan sebelum pembangunan ini dilaksanakan,” katanya kepada pemberita selepas majlis pendengaran tersebut di Holiday Villa, di sini baru-baru ini.

Tapak Taman Subang Ria dengan keluasan 29.3 hektar telah dipohon oleh pemaju berkenaan secara hak milik pajakan selama 99 tahun sehingga Februari 2087.
Cukai tahunan yang telah dibayar oleh pemilik ialah sebanyak RM41,264 dan sebahagian 15.05 hektar di sebelah barat telah dibangunkan sebagai taman rekreasi orang ramai manakala tanah seluas 14.3 hektar di sebelah timur turut dibuka kepada orang ramai sebagai kemudahan tambahan beriadah.

Sementara itu, wakil peguam yang dilantik penduduk, Derek J. Fernandez, mendakwa MPSJ gagal mengikut piawaian yang ditetapkan Dasar Perbandaran Negara yang mensyaratkan dua hektar tanah lapang untuk kepadatan 1,000 penduduk.

‘‘MPSJ sebaliknya masih menggunakan formula lama yang mana pada masa itu tiada pembangunan bertingkat iaitu 10 peratus dari setiap keluasan tanah dijadikan sebagai taman rekreasi.

‘‘Penduduk mencadangkan supaya kerajaan negeri membeli semula tanah ini daripada pemaju berkenaan memandangkan nilainya tidak terlalu tinggi kerana ia berstatus taman rekreasi dan pembangunan yang berkaitan dengan rekreasi,’’ katanya.
Derek menjangkakan, tanah tersebut jika ingin dibeli semula oleh kerajaan negeri, nilainya tidak lebih daripada RM10 juta.

‘‘Malah, jika kerajaan tidak mampu, penduduk menyatakan kesanggupan mereka menyumbangkan 50 sen untuk setiap RM1 yang dikeluarkan kerajaan negeri untuk membeli semula tanah tersebut asalkan ia tidak dimajukan dengan pembangunan komersial,’’ katanya.

Dipetik daripada akhbar Utusan Online - 23 Julai 2007


Siang tadi Dewan Pemuda Pas Kawasan Kelana Jaya telah meninjau di sekitar kawasan rekreasi Taman Subang Ria dan mendapati bahawa keadaan tempat riadah orang ramai ini amat tidak terurus dan memerlukan penyelenggaraan dan pembaik pulihan daripada pihak yang bertanggungjawab.

Bagi kami DPPKJ, Taman Subang Ria yang terletak di Subang Jaya ini adalah satu-satunya kawasan rekreasi bagi kemudahan riadah penduduk Subang jaya dan yang berhampiran dengannya. Melihatkan kepada kawasan sekitarnya yang masih lagi terpelihara dengan tumbuhan menghijau maka adalah tidak wajar untuk kawasan rekreasi ini dikorbankan semata-mata untuk dijadikan kawasan komersil.

Oleh itu DPPKJ menyokong usaha penduduk Subang Jaya dalam membantah tindakan yang akan memusnahkan kawasan tempat riadah keluarga ini dan turut memberikan harapan agar Mesyuarat Majlis Perbandaran Subang Jaya (MPSJ) yang akan diadakan dalam masa terdekat dapat mempertimbangkan bantahan yang dibuat oleh penduduk Subang Jaya itu.

Sunday, July 22, 2007

PEMBAZIRAN YANG TERUS-MENERUS MERUGIKAN RAKYAT.


Binaan lanskap yang terletak berhampiran Bulatan SS15 yang menelan belanja jutaan ringgit wang rakyat ini terpaksa dirobohkan setelah didapati tidak mendatangkan manfaat kepada masyarakat. Nampaknya wang rakyat terbuang begitu sahaja akibat pembaziran yang dilakukan oleh kerajaan ini.

Tuesday, July 17, 2007

TAKZIAH KEPADA KELUARGA MANGSA NAHAS HELIKOPTER NURI.

Kami Dewan Pemuda Pas Kawasan Kelana Jaya merakamkan ucapan takziah kepada keluarga mangsa nahas helikopter Nuri dan berharap agar keluarga yang terdekat bersabar dalam menghadapi ujian Allah ini.

Di sini kami DPPKJ memandang serius insiden nahas helikopter yang telah masuk bilangan ke-18 sejak ianya digunakan oleh TUDM dan meminta kerajaan khususnya Kementerian Pertahanan agar mengambil langkah perlu untuk mengatasi insiden yang melibatkan nyawa perajurit negara ini.

Saturday, July 14, 2007

NUANSA PENULISAN PAK SHUKOR HARUN - HASRAT DAN HARAPAN KEPADA PENULIS MUDA.


Pagi tadi bertempat di Markaz Pas Kawasan Kelana Jaya telah diadakan suatu pertemuan antara para penulis dengan Pak Shukor Harun. Pertemuan yang diatur oleh Tim Penerangan Pemuda Pas Kawasan Kelana Jaya ini bertujuan untuk memberikan peluang kepada mereka yang sedang berjinak-jinak dengan penulisan khususnya di laman web atau blog untuk mengutip ilmu dan pengalaman bermanfaat daripada Pak Shukor yang pernah menjadi wartawan di akhbar Utusan dan Harakah dan hingga kini masih aktif menulis.

Selama hampir dua jam bersama Pak Shukor, begitu banyak ilmu dan pedoman yang diperolehi oleh para peserta termasuklah oleh penulis sendiri. Antara yang ditekankan oleh Pak Shukor kepada para penulis muda pada pertemuan itu ialah berkenaan aspek dakwah dalam penulisan, kepentingan membaca dan menguasai ilmu, kebenaran dan kejujuran dalam penulisan, memiliki kemahiran berbahasa dengan kreatif dan menghindari sikap emosional dalam menulis.

Yang pastinya pertemuan pagi tadi bukanlah pertemuan yang pertama dan terakhir bagi kami, pertemuan seumpama ini akan diteruskan lagi pada masa akan datang agar dapat menyediakan golongan penulis pelapis yang berjiwa pendakwah.