Monday, August 14, 2006

TAMRIN QIADI PKKJ, MEDAN MELAHIRKAN AMILIN BERKUALITI.

Dalam usaha untuk melahirkan para amilin atau pekerja parti yang berkualiti, pada 13 Ogos yang lalu telah di adakan program berbentuk tarbiah yang dinamakan Tamrin Qiadi PKKJ bertempat di Dewan Seri Kelana, Kompleks Tabung Haji. Sebanyak 45 peserta yang terdiri daripada AJK Kawasan, cawangan dan dewan-dewan telah menyertai program selama setengah hari yang anjurkan bersama oleh Lajnah Penerangan dan Da’wah dan Lajnah Tarbiah ini.

Dalam sesi pertama program ini satu kertas kerja yang bertajuk “Adab-adab dan akhlak berjemaah” telah dibentangkan oleh Ustaz Nasir Yusuf, YDP Pas Kawasan Puchong. Pada sesi kedua program, setiap cawangan dan dewan-dewan telah mengulas kertas kerja yang telah dibentangkan yang kemudiannya telah dirumuskan oleh Ustaz Megat Othman, AJK Lajnah Tarbiah Kawasan.

Di akhir program ini sebanyak enam resolusi telah dikeluarkan yang dinamakan sebagai Resolusi Seri Kelana;


1. Merapatkan lagi ukhwah di kalangan ahli-ahli Pas di semua peringkat tanpa mengira latar belakang sosioekonomi di Kawasan Kelana Jaya.

2. Taat kepada segala keputusan kepimpinan yang diputuskan secara musyawarah tanpa ragu-ragu dengan mengetepikan kepentingan lokaliti atau kawasan.

3. Terus bekerja bersungguh-sungguh untuk parti pada masa susah atau senang, tanpa mengira ada jawatan atau tidak, sama ada kawasan meletakkan calon pilihanraya atau tidak.

4. Menghidupkan program-program usrah di semua peringkat cawangan dan dewan sebagai nadi kekuatan jemaah.

5. Berganding bahu dan bekerjasama antara golongan tua dan muda dalam menjayakan sesuatu program.

6. Memperbanyakkan program-program sama ada kecil atau besar di semua peringkat yang mampu menggerakkan keterlibatan semua pihak.


Apa yang di harapkan ialah agar kesemua kandungan resolusi ini dapat dihayati dan dilaksanakan di semua peringkat.