Saturday, December 30, 2006

RISALAH DPPKKJ SEMPENA TAHUN BARU.
Muat turun, cetak dan edarkan risalah ini di tempat tuan-tuan.


Sila klik ke imej untuk melihat saiz sebenar.

Friday, December 29, 2006

PERUTUSAN DPPKJ SEMPENA TAHUN BARU 2007.

Kurang dua hari lagi kita akan melangkah ke tahun baru 2007 dan akan meninggalkan tahun 2006 dengan pelbagai catatan suka dan duka. Bagi kita rakyat Malaysia yang terdiri daripada latar sosial yang pelbagai tahun 2006 ini telah menyaksikan pelbagai kenaikan antaranya harga petrol, tarif elektrik, tarif air, kadar tol dan diikuti dengan lonjakkan kenaikan harga pelbagai barangan keperluan di pasaran. Sekaligus kenaikan-kenaikan ini telah menjadikan tahun 2006 ini sebagai tahun getir bagi kita sebagai golongan pekerja yang terpaksa menanggung beban daripada kenaikan kos hidup ekoran daripada kenaikan harga barangan dan perkhidmatan di pasaran. Bertambah perit lagi apabila tuntutan untuk kenaikan gaji kakitangan awal dan swasta masih lagi belum dipenuhi hingga ke hari ini. Paling ketara kenaikan kos sara hidup ini telah menyebabkan meningkatnya penyakit sosial di kalangan rakyat. Ini jelas apabila tahun 2006 ini diumumkan meningkatnya indeks kadar jenayah sebanyak 13.2% serta menurunnya Indeks Persepsi Rasuah atau CPI yang menunjukkan peningkatan dalam amalan rasuah dalam negara.

Tahun 2006 yang akan berlalu ini juga telah menyaksikan detik getir bagi agama Islam di negara ini apabila cuba dinafikan ketuanannya oleh golongan-golongan yang anti kepada perkembangan Islam di negara ini. Mereka yang menamakan kumpulan mereka sebagai Artikel 11 ini sedaya-upaya untuk merealisasikan penubuhan IFC yang akan digunakan sebagai alat untuk meyekat perkembangan agama Islam serta melaksanakan agenda memurtadkan umat Islam di negara. Lebih malang lagi apabila golongan-golongan ini turut disertai oleh orang Islam sendiri yang turut lantang mempersoalkan undang-undang syariah atas nama hak asasi. Paling ketara golongan yang disokong oleh beberapa orang menteri kabinet ini cuba untuk menghapuskan kuasa mahkamah syariah yang hanya satu-satunya benteng untuk mempertahankan kesucian agama Islam di negara ini.

Menyingkap kembali tentang iklim politik di negara ini. Tahun 2006 ini juga telah memperlihatkan kepada kita satu-persatu permasalahan melanda Umno dan Barisan Nasional yang dipimpin Oleh Dato' Seri Abdullah Ahmad Badawi sebagai Perdana Menteri. Paling ketara ialah permasalahan antara bekas Perdana Menteri sendiri, Tun Dr Mahathir dengan Perdana Menteri apabila Tun Dr Mahathir mula mengeluarkan kritikan secara terbuka terhadap pentadbiran Dato' Seri Abdullah Ahmad Badawi. Tidak setakat dalam Umno, kita juga telah diperlihatkan dengan permasalahan antara parti-parti komponen dalam Barisan Nasional sendiri. Segala apa yang telah dipaparkan tadi jelas membuktikan kepada kita betapa lemah dan tidak terkawalnya kepimpinan Dato' Seri Abdullah Ahmad Badawi sebagai Perdana Menteri.

Tahun 2007 yang akan membuka tirainya beberapa hari lagi membawa satu harapan baru yang lebih baik kepada semua pihak termasuk tidak kira sama ada pemerintah dan juga golongan rakyat. Bagi parti-parti politik juga mereka yang mengikuti perkembangan politik nasional, tahun 2007 ini sudah tentu akan tertumpu kepada Pilihanraya Umum ke-12 yang dijangka jatuh pada bila-bila masa sahaja sama ada pada bulan April ataupun bulan November. Bila pun tarikhnya DPPKJ menyeru kepada rakyat khususnya di Parlimen Kelana Jaya ini agar tahun 2007 ini kita tanamkan azam bersama untuk membuat perubahan dalam pilihanraya umum yang akan menjelang pada bila-bila masa sahaja kearah Malaysia yang adil dan bebas daripada penindasan. Jika tahun 2006 kita telah menyaksikan tindak-tanduk pemerintah di bawah Barisan Nasional yang semakin menindas maka tahun 2007 nanti kita pastikan agar kezaliman serta penindasan terhadap rakyat ini tidak lagi berterusan.

Akhir sekali semoga tahun 2007 ini akan lebih baik daripada tahun-tahun sebelumnya, begitu juga dengan diri kita mudah-mudahan menjadi insan atau muslim yang lebih baik daripada tahun-tahun sebelumnya.



IMBASAN TAHUN 2006.

1. Kenaikan-kenaikan sepanjang 2006.
28 Febuari - Kenaikan harga minyak sebanyak 30sen.
31 Mei - Kenaikan tarif elektrik sebanyak 12 peratus.
1 November - Kenaikan tarif air sebanyak 13.7 peratus.
Berkuatkuasa 1 Januari 2007 - Kenaikan kadar Tol antara 60 peratus hingga 100 peratus di beberapa Lebuhraya.
*Kenaikan-kenaikan yang telah disebutkan di atas diikuti dengan lonjakkan harga barangan keperluan di pasaran.

2. Peningkatan Indeks Jenayah sebanyak 13.2%.
*Tujuh bulan pertama 2006 mencatatkan 130,457 kes berbanding tahun 2005 iaitu sebanyak 117,200 kes.

3. Kemerosotan Indeks Persepsi Rasuah (CPI)
*CPI Malaysia menurun daripada tangga 39 ke tangga 44.

4. Penurunan dalam Indeks Demokrasi 2006.
*Daripada 167 buah negara Malaysia berada pada tangga 81, terkebelakang berbanding dengan negara India (35), Mongolia (56), Sri Lanka (57), Filipina (63, Indonesia (65), Timor Leste (65) dan Palestin (79).

5. Kadar Inflasi 11 bulan sebanyak 3.7 peratus.
*Indeks Harga Pengguna bagi tempoh Januari hingga November dicatatkan sebanyak 103.5 mata berbanding iaitu 99.8 mata tahun sebelumnya.
LENSA AKTIVITI DPPKJ SEPANJANG 2006.
Aktiviti-aktiviti yang dianjurkan, anjuran bersama dan juga yang disertai oleh DPPKJ.



Rehlah 2006 di sekitar perairan Pulau Langkawi.




Hari keluarga PKKJ (Usahasama DPPKJ - DMPKJ)




Ceramah Umum.




Muktamar Pemuda Negeri Selangor di Kompas Tanjung Karang.




Kem 3+1 di Taman Cahaya Sri Alam.




Futsal remaja.




Kem Ibadah anjuran bersama DMPKJ.




Himpunan 15000 Pemuda di Kota Bharu, Kelantan.




Usrah DPPKJ.




Banner-banner yang telah dinaikkan.
SELAMAT HARI RAYA QURBAN DARIPADA DPPKJ.



Kami DPPKJ mengucapkan selamat menyambut hari raya Aidil Adha kepada seluruh umat Islam. Semoga ianya adalah sebenar-benar qurban seperti yang dilakukan oleh Nabi Allah Ibrahim yang berkorban hanya kerana Allah.

Tidak lupa juga kami turut mendoakan agar para jemaah haji di tanah suci sana agar selamat melaksanakan rukun Islam yang kelima itu dan selamat balik ke tanah air.

-:= Berkorban hanya kerana Allah :=-

Tuesday, December 19, 2006

KENYATAAN BLOG DPPKJ BERKENAAN KENAIKAN KADAR TOL.

Kami DPPKJ melahirkan rasa kesal dengan keputusan kerajaan menaikkan kadar Tol bagi beberapa lebuhraya yang akan berkuatkuasa tahun hadapan. Bagi kami DPPKJ kenaikan kadar Tol yang mencecah 60 hingga 100 peratus ini ada satu lagi beban untuk ditanggung oleh rakyat yang selama ini telah pun dibebankan dengan kenaikan harga petrol, tarif elektrik dan tarif air. Tambahan pula ada antara Lebuhraya yang terlibat dengan kenaikan tersebut seperti Lebuhraya Damansara Puchong (LDP) dan Lebuhraya Pantai Baru (NPE) merupakan laluan yang sering digunakan oleh penduduk berulang ke tempat kerja.

Apa yang mengecewakan kami di sini kenaikan berkenaan diputuskan pada masa kerajaan masih lagi berkira-kira untuk menaikkan gaji kakitangan awam dan pada masa kakitangan swasta masih lagi berjuang untuk mendapatkan taraf gaji minimum RM900. Di sini juga kami DPPKJ mempersoalkan tentang dakwaan kerajaan bahawa kenaikan kadar Tol ini adalah beban bersama yang akan ditanggung oleh pihak kerajaan dan juga rakyat jelata. Sedangkan bagi kami beban ini sebenarnya adalah ditanggung oleh rakyat kesemuanya kerana duit yang dikeluarkan oleh kerajaan untuk menanggung beban konsesi itu juga adalah duit rakyat. Melainkan jika para menteri kabinet dan ahli parlimen sendiri bersedia untuk mengurangkan elaun yang mereka perolehi.

DPPKJ juga melihat Kenaikan kadar Tol dan juga kenaikan-kenaikan yang lain sebelum ini bukti betapa lemahnya pentadbiran Dato' Seri Abdullah Ahmad Badawi sehingga melihat kaedah menaikkan harga sebagai langkah penyelesian. Oleh kerana itu DPPKJ menyeru kepada rakyat sekalian khususnya di Parlimen Kelana Jaya ini agar membuat perubahan yang besar dalam pilihanraya umum yang mungkin akan bermula seawal 2007 tahun hadapan.