Petikan daripada Berita Minggu bertarikh 21 Disember 2008.
Baginda sedih perbuatan eksploitasi kanak-kanak.
SUBANG JAYA: Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah dukacita dengan tindakan segelintir pihak yang mengeksploitasikan kanak-kanak dalam kempen yang melanggar undang-undang untuk kepentingan mereka.
Kenyataan baginda itu disampaikan kepada Ketua Polis Selangor, Datuk Khalid Abu Bakar sebelum berangkat ke luar negeri pada petang Khamis, selain meminta polis mengambil tindakan undang-undang terhadap mereka yang terbabit.
Khalid berkata, baginda mengarahkan polis mengambil tindakan tegas terhadap pihak yang menggunakan kanak-kanak dalam aktiviti yang melanggar undang-undang.
Katanya, tindakan penganjur mempengaruhi kanak-kanak untuk memberontak dan melanggar undang-undang sedangkan pada usia sedemikian mereka sewajarnya diberi didikan berguna dan ditanam dengan nilai sayang dan cintakan negara.

