Tuesday, December 19, 2006

KENYATAAN BLOG DPPKJ BERKENAAN KENAIKAN KADAR TOL.

Kami DPPKJ melahirkan rasa kesal dengan keputusan kerajaan menaikkan kadar Tol bagi beberapa lebuhraya yang akan berkuatkuasa tahun hadapan. Bagi kami DPPKJ kenaikan kadar Tol yang mencecah 60 hingga 100 peratus ini ada satu lagi beban untuk ditanggung oleh rakyat yang selama ini telah pun dibebankan dengan kenaikan harga petrol, tarif elektrik dan tarif air. Tambahan pula ada antara Lebuhraya yang terlibat dengan kenaikan tersebut seperti Lebuhraya Damansara Puchong (LDP) dan Lebuhraya Pantai Baru (NPE) merupakan laluan yang sering digunakan oleh penduduk berulang ke tempat kerja.

Apa yang mengecewakan kami di sini kenaikan berkenaan diputuskan pada masa kerajaan masih lagi berkira-kira untuk menaikkan gaji kakitangan awam dan pada masa kakitangan swasta masih lagi berjuang untuk mendapatkan taraf gaji minimum RM900. Di sini juga kami DPPKJ mempersoalkan tentang dakwaan kerajaan bahawa kenaikan kadar Tol ini adalah beban bersama yang akan ditanggung oleh pihak kerajaan dan juga rakyat jelata. Sedangkan bagi kami beban ini sebenarnya adalah ditanggung oleh rakyat kesemuanya kerana duit yang dikeluarkan oleh kerajaan untuk menanggung beban konsesi itu juga adalah duit rakyat. Melainkan jika para menteri kabinet dan ahli parlimen sendiri bersedia untuk mengurangkan elaun yang mereka perolehi.

DPPKJ juga melihat Kenaikan kadar Tol dan juga kenaikan-kenaikan yang lain sebelum ini bukti betapa lemahnya pentadbiran Dato' Seri Abdullah Ahmad Badawi sehingga melihat kaedah menaikkan harga sebagai langkah penyelesian. Oleh kerana itu DPPKJ menyeru kepada rakyat sekalian khususnya di Parlimen Kelana Jaya ini agar membuat perubahan yang besar dalam pilihanraya umum yang mungkin akan bermula seawal 2007 tahun hadapan.

No comments: