PERUTUSAN DPPKJ SEMPENA TAHUN BARU 2007.
Kurang dua hari lagi kita akan melangkah ke tahun baru 2007 dan akan meninggalkan tahun 2006 dengan pelbagai catatan suka dan duka. Bagi kita rakyat Malaysia yang terdiri daripada latar sosial yang pelbagai tahun 2006 ini telah menyaksikan pelbagai kenaikan antaranya harga petrol, tarif elektrik, tarif air, kadar tol dan diikuti dengan lonjakkan kenaikan harga pelbagai barangan keperluan di pasaran. Sekaligus kenaikan-kenaikan ini telah menjadikan tahun 2006 ini sebagai tahun getir bagi kita sebagai golongan pekerja yang terpaksa menanggung beban daripada kenaikan kos hidup ekoran daripada kenaikan harga barangan dan perkhidmatan di pasaran. Bertambah perit lagi apabila tuntutan untuk kenaikan gaji kakitangan awal dan swasta masih lagi belum dipenuhi hingga ke hari ini. Paling ketara kenaikan kos sara hidup ini telah menyebabkan meningkatnya penyakit sosial di kalangan rakyat. Ini jelas apabila tahun 2006 ini diumumkan meningkatnya indeks kadar jenayah sebanyak 13.2% serta menurunnya Indeks Persepsi Rasuah atau CPI yang menunjukkan peningkatan dalam amalan rasuah dalam negara.
Tahun 2006 yang akan berlalu ini juga telah menyaksikan detik getir bagi agama Islam di negara ini apabila cuba dinafikan ketuanannya oleh golongan-golongan yang anti kepada perkembangan Islam di negara ini. Mereka yang menamakan kumpulan mereka sebagai Artikel 11 ini sedaya-upaya untuk merealisasikan penubuhan IFC yang akan digunakan sebagai alat untuk meyekat perkembangan agama Islam serta melaksanakan agenda memurtadkan umat Islam di negara. Lebih malang lagi apabila golongan-golongan ini turut disertai oleh orang Islam sendiri yang turut lantang mempersoalkan undang-undang syariah atas nama hak asasi. Paling ketara golongan yang disokong oleh beberapa orang menteri kabinet ini cuba untuk menghapuskan kuasa mahkamah syariah yang hanya satu-satunya benteng untuk mempertahankan kesucian agama Islam di negara ini.
Menyingkap kembali tentang iklim politik di negara ini. Tahun 2006 ini juga telah memperlihatkan kepada kita satu-persatu permasalahan melanda Umno dan Barisan Nasional yang dipimpin Oleh Dato' Seri Abdullah Ahmad Badawi sebagai Perdana Menteri. Paling ketara ialah permasalahan antara bekas Perdana Menteri sendiri, Tun Dr Mahathir dengan Perdana Menteri apabila Tun Dr Mahathir mula mengeluarkan kritikan secara terbuka terhadap pentadbiran Dato' Seri Abdullah Ahmad Badawi. Tidak setakat dalam Umno, kita juga telah diperlihatkan dengan permasalahan antara parti-parti komponen dalam Barisan Nasional sendiri. Segala apa yang telah dipaparkan tadi jelas membuktikan kepada kita betapa lemah dan tidak terkawalnya kepimpinan Dato' Seri Abdullah Ahmad Badawi sebagai Perdana Menteri.
Tahun 2007 yang akan membuka tirainya beberapa hari lagi membawa satu harapan baru yang lebih baik kepada semua pihak termasuk tidak kira sama ada pemerintah dan juga golongan rakyat. Bagi parti-parti politik juga mereka yang mengikuti perkembangan politik nasional, tahun 2007 ini sudah tentu akan tertumpu kepada Pilihanraya Umum ke-12 yang dijangka jatuh pada bila-bila masa sahaja sama ada pada bulan April ataupun bulan November. Bila pun tarikhnya DPPKJ menyeru kepada rakyat khususnya di Parlimen Kelana Jaya ini agar tahun 2007 ini kita tanamkan azam bersama untuk membuat perubahan dalam pilihanraya umum yang akan menjelang pada bila-bila masa sahaja kearah Malaysia yang adil dan bebas daripada penindasan. Jika tahun 2006 kita telah menyaksikan tindak-tanduk pemerintah di bawah Barisan Nasional yang semakin menindas maka tahun 2007 nanti kita pastikan agar kezaliman serta penindasan terhadap rakyat ini tidak lagi berterusan.
Akhir sekali semoga tahun 2007 ini akan lebih baik daripada tahun-tahun sebelumnya, begitu juga dengan diri kita mudah-mudahan menjadi insan atau muslim yang lebih baik daripada tahun-tahun sebelumnya.
IMBASAN TAHUN 2006.
1. Kenaikan-kenaikan sepanjang 2006.
28 Febuari - Kenaikan harga minyak sebanyak 30sen.
31 Mei - Kenaikan tarif elektrik sebanyak 12 peratus.
1 November - Kenaikan tarif air sebanyak 13.7 peratus.
Berkuatkuasa 1 Januari 2007 - Kenaikan kadar Tol antara 60 peratus hingga 100 peratus di beberapa Lebuhraya.
*Kenaikan-kenaikan yang telah disebutkan di atas diikuti dengan lonjakkan harga barangan keperluan di pasaran.
2. Peningkatan Indeks Jenayah sebanyak 13.2%.
*Tujuh bulan pertama 2006 mencatatkan 130,457 kes berbanding tahun 2005 iaitu sebanyak 117,200 kes.
3. Kemerosotan Indeks Persepsi Rasuah (CPI)
*CPI Malaysia menurun daripada tangga 39 ke tangga 44.
4. Penurunan dalam Indeks Demokrasi 2006.
*Daripada 167 buah negara Malaysia berada pada tangga 81, terkebelakang berbanding dengan negara India (35), Mongolia (56), Sri Lanka (57), Filipina (63, Indonesia (65), Timor Leste (65) dan Palestin (79).
5. Kadar Inflasi 11 bulan sebanyak 3.7 peratus.
*Indeks Harga Pengguna bagi tempoh Januari hingga November dicatatkan sebanyak 103.5 mata berbanding iaitu 99.8 mata tahun sebelumnya.
Friday, December 29, 2006
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment