Sunday, February 11, 2007

MENGAPA SAMBUTAN HARI VALENTINE BERTENTANGAN DENGAN ISLAM?

SEJARAH DAN ASAL-USUL SAMBUTAN HARI VALENTINE.

Diasaskan oleh masyarakat Rom yang beragama Kristian sebagai memperingati peristiwa seorang paderi yang dihukum bunuh oleh pemerintah Rom, Claudius II.
Saint Valentine dihukum bunuh kerana mengahwinkan salah seorang askar secara rahsia sedangkan undang-undang Rom ketika itu menghalang golongan muda berkahwin atau berkeluarga sebaliknya dikerah untuk menjadi tentera.

Pada zaman pertengahan, masyarakat England dan Perancis menganggap 14 Februari sebagai `hari burung-burung mencari pasangan mereka.'Pada kurun ke-14 dan ke-15 mereka mula meniru perbuatan burung tersebut dengan mengadakan hari mencari pasangan atau jodoh pada tarikh tersebut.Masing-masing akan mengucapkan `Selamat Hari Valentine' sesama pasangan mereka.

Ada juga mitos menyebut, kad Hari Valentine dijadikan amalan memperingati peristiwa seorang paderi yang dipenjarakan dan sering menghantar kad bertulis From Your Valentine kepada kekasihnya, seorang gadis iaitu anak seorang pengawal penjara.


HUJAH SERTA DALIL YANG MEMBAWA KEPADA HARAMNYA SAMBUTAN HARI VALENTINE.

1. Rasulullah SAW telah melarang untuk mengikuti tatacara ibadat selain Islam. "Barangsiapa meniru suatu kaum, maka ia termasuk dari kaum tersebut." (Riwayat Tirmidzi)
Allah SWT telah berfirman, yang bermaksud:"Hai orang-orang yang beriman, janganlah kamu mengambil orang-orang Yahudi dan Nasrani menjadi pemimpin-pemimpin (kamu); sebahagian mereka adalah pemimpin bagi sebahagian yang lain. Barangsiapa di antara kamu mengambil mereka menjadi pemimpin, maka sesungguhnya orang itu termasuk golongan mereka. Sesungguhnya Allah tidak memberi petunjuk kepada orang-orang yang zalim." (Al-Maidah: 51) Di dalam ayat yang lain, "Kamu tidak akan mendapati sesuatu kaum yang beriman kepada Allah dan hari Akhirat, saling berkasih sayang dengan orang-orang yang menentang Allah dan Rasul-Nya." (Al-Mujadilah: 22)

2. Ibnu Qayyim al-Jauziyah berkata, "Memberikan ucapan selamat terhadap acara ritual orang kafir yang khusus bagi mereka, telah disepakati bahawa perbuatan tersebut haram. Bagi yang mengucapkannya, kalau pun tidak sampai pada kekafiran, paling tidak itu merupakan perbuatan haram." 3. Abu Waqid meriwayatkan bahawa, Rasulullah SAW saat keluar menuju perang Khaibar, beliau melewati sebuah pohon milik orang-orang musyrik, yang disebut dengan Dzaatu Anwaath, biasanya mereka menggantungkan senjata-senjata mereka di pohon tersebut. Para sahabat Rasulullah SAW berkata, "Wahai Rasulullah, buatkan untuk kami Dzaatu Anwaath, sebagaimana mereka mempunyai Dzaatu Anwaath." Maka Rasulullah bersabda, "Maha Suci Allah, ini seperti yang diucapkan kaum Nabi Musa, 'Buatkan untuk kami tuhan sebagaimana mereka mempunyai tuhan-tuhan.' Demi Zat yang jiwaku di tangan-Nya, sungguh kalian akan mengikuti kebiasaan orang-orang yang ada sebelum kalian." (Riwayat Tirmidzi, ia berkata, Hasan Sahih).

3. Sheikh Muhammad al-Uthaimin ketika ditanya tentang Valentine's Day mengatakan, "Merayakan Hari Valentine itu tidak boleh, kerana alasan berikut: Pertama; ia merupakan hari raya bid'ah yang tidak ada dasar hukumnya di dalam syariat Islam. Kedua; ia akan menyebabkan hati sibuk dengan perkara-perkara yang tidak berguna seperti ini yang sangat bertentangan dengan petunjuk para Salaf As-Soleh.Maka tidak halal melakukan ritual hari raya, baik dalam bentuk makan-makan, minum-minum, berpakaian, saling bertukar hadiah atau selainnya. Hendaklah setiap Muslim merasa bangga dengan agamanya, tidak menjadi orang yang tidak mempunyai pegangan dan ikut-ikutan.

4. Allah s.w.t. berfirman yang bermaksud, “Dan janganlah kamu menghampiri zina sesungguhnya zina itu adalah satu perbuatan keji dan satu jalan yang jahat.’’ (al-Isra: 32)
Mafhumnya, Allah s.w.t. tidak mengharamkan zina semata-mata malahan apa-apa yang boleh membawa kepada zina juga hukumnya haram.
Apa yang jelas dalam sambutan Valentine Day ialah pergaulan bebas di antara lelaki dan perempuan. Justeru, bagi menzahirkan rasa cinta, pelbagai aktiviti dilakukan yang jelas haram dan bertentangan dengan Islam. Apa yang pasti ialah pasangan kekasih akan mengadakan pertemuan demi melahirkan perasaan cinta. Pada waktu itu yang ketiga ialah syaitan yang menghasut mereka supaya melakukan perkara-perkara terkutuk.
Nabi telah menegah kita daripada meniru budaya Yahudi dan Nasrani dengan sabdanya yang bermaksud, “Nescaya kamu akan turut jejak langkah mereka (Yahudi dan Nasrani ) sejengkal demi sejengkal, sehasta demi sehasta sehingga kamu akan turuti mereka walaupun mereka masuk ke dalam lubang biawak. Lantaran sahabat bertanya: Adakah mereka itu Yahudi dan Nasrani? Baginda menjawab: Siapa lagi kalau bukan mereka.’’

5. Umat Islam yang meraikan Hari Memperingati Kekasih pada 14 Februari boleh dianggap murtad atau terkeluar daripada Islam jika cara melakukannya mirip dengan agama asal perayaan itu, Kristian.Mufti Perak, Datuk Seri Harussani Zakaria berkata, hukum itu boleh jatuh kepada mereka berdasarkan sebuah hadis sahih yang menyebut bahawa:``Sesiapa yang melakukan perbuatan yang menyerupai sesuatu kaum itu, maka ia turut termasuk bersama golongan tersebut.''

6. “Remaja Islam dinasihatkan tidak terpengaruh dengan pelbagai promosi bagi meraikan Hari Kekasih atau ‘Valentine’s Day’ kerana ia bercanggah dengan ajaran agama, sekali gus menjurus kepada perbuatan tidak bermoral”.
“Perkara itu terbukti kerana pada Hari Kekasih, ramai pasangan mengambil kesempatan keluar berdua-duaan, ada yang turut melakukan hubungan seksdan ia jelas menyimpang daripada landasan agama,” Mufti Perlis, Dr Mohd Asri Zainol Abidin – Berita Harian, 12 Febuari 2007.

7. Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam Malaysia kali ke-71 yang bersidang pada 22 hingga 24 November 2005 lalu bersetuju memutuskan bahawa amalan meraikan Hari Kekasih tidak digalakkan agama Islam.

KESIMPULAN.

Walaupun Islam menggalakkan kasih sayang antara penganutnya malahan disebut sebagai agama kasih sayang namun ianya mestilah berbeza dengan kasih sayang daripada sudut penganut agama lain. Ini kerana Islam adalah agama yang syumul dan sudah tentulah kasih sayang yang diterapkan lebih tinggi nilainya berbanding dengan agama yang lain.

Oleh itu DPPKJ menyeru kepada umat Islam khususnya kepada remaja dan belia di Parlimen Kelana Jaya ini agar tidak terperangkap oleh perancangan jahat Yahudi dan Nasrani yang mahu merosakkan nilai hidup Islam atas nama kasih sayang.

Bagi pasangan yang sedang bercinta, terjemahkanlah kasih sayang anda itu melalui perkahwinan. Jika tidak mampu maka hendaklah kamu mengelakkan daripada terjerumus ke lembah kemungkaran.

Kepada pihak kerajaan pemantauan haruslah diberikan agar Hari Valentine ini tidak diberikan promosi secara berlebih-lebihan khususnya oleh pihak media kerana ianya turut mempengaruhi anak-anak muda Islam sendiri.

No comments: