BERAKHIRNYA PENCARIAN ADIK NAZRIN.
KUALA LUMPUR 14 April — Muhammad Nazrin Shamsul Ghazali atau Yin, 5, kanak-kanak yang dilaporkan hilang sejak 31 Mac lepas ditemui selamat di Sentul hari ini, kata Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan.
Beliau berkata, sepanjang tempoh kehilangannya, Muhammad Nazrin berada dalam jagaan pasangan suami isteri warga Myanmar, Rasidah Nur Islam, 27, dan Abdul Rahman Doli Rahman, 31, yang tinggal di Sentul Pasar.
“Terima kasih kepada Rasidah dan suaminya kerana menjaga adik Yin dengan baik. Rasidah dan suaminya tidak tahu berita kehilangan Yin ini kerana di rumah mereka tiada televisyen.
“Mereka (Rasidah dan suami) hanya tahu bahawa Yin adalah budak yang hilang setelah melihat poster Yin sewaktu membeli-belah di Sogo hari ini,” katanya pada sidang media di sini hari ini.
Musa berkata, ketika itu, rakan Shamsul Ghazali, Baharuddin Hassan sedang mengedarkan poster Yin di kawasan sekitar kompleks beli-belah Sogo di Jalan Tunku Abdul Rahman.
Musa berkata, Rasidah yang berada di sekitar Kompleks Beli-Belah Sogo kira-kira pukul 1 tengah hari bersama anak perempuannya yang berumur tiga tahun telah terlihat poster Yin sedang diagihkan oleh Baharudin.
Tanpa menyedari maklumat yang terkandung di dalam poster itu, beliau membawa poster berkenaan pulang ke rumah.
“Di rumah, Rasidah telah melihat kembali poster itu dan terkejut kerana gambar yang tertera di dalam poster itu adalah sama dengan kanak-kanak yang tinggal bersamanya iaitu Yin,” katanya.
Rasidah yang tidak tahu membaca mengesyaki sesuatu yang tidak kena, lalu menghubungi nombor yang tertera pada poster tersebut.
Baharudin yang menerima panggilan tersebut kemudiannya terus ke Sentul bagi mendapatkan Yin sebelum membawa ke rumahnya di Setiawangsa.
Beliau berkata, bapa Yin kemudiannya dimaklumkan tentang penemuan itu kira-kira pukul 2 petang tadi.
“Dengan pertemuan Yin itu yang tiada unsur-unsur jenayah, maka kes itu ditutup.
"(Sebelum ini) Kita juga turut meminta bantuan polis Thailand atas info penemuan Yin sebelum ini di Kelantan, dan kita akan maklumkan bahawa info itu tidak betul dan Yin kini telah selamat,” katanya.
Yin, yang ditemui dalam keadaan kepalanya botak akibat dicukur, berada di sisi ayahnya, kelihatan gembira dan sedikitpun tidak merasa takut, walaupun dikerumuni oleh puluhan wartawan dan jurugambar.
Selain Shamsul Ghazali, turut hadir pada sidang media itu ialah ibu Yin, Nor Amizah Ahmad, 25; Rasidah dan suaminya, Abdul Rahman; Pengarah Siasatan Jenayah Bukit Aman, Datuk Christopher Wan Soo Kee; dan Pemangku Ketua Polis Kuala Lumpur, SAC II Zul Hasnan Najib Baharudin. - Bernama
Sumber : Utusan Online - 14 April 2006.
Di sini kami DPPKJ ingin merakamkan ucapan syukur kepada Allah atas berakhirnya pencarian adik Muhammad Nazrin yang hilang 31 Mac yang lalu. Bagi kami ini adalah berkat usaha pelbagai pihak di samping doa dan termasuk juga solat hajat yang dilakukan di beberapa buah masjid pada Jumaat yang lepas.
Orang yang paling gembira sekali dengan penemuan ini sudah tentulah pasangan ibu bapa Shamsul Ghazali dan Nor Amizah Ahmad yang sebelum ini menanggung kesedihan yang amat sangat atas kehilangan anak mereka.
Apa yang diharapkan melalui kejadian ini agar sikap bantu-membantu dan mengambil berat oleh masyarakat yang ditunjukkan semasa hilangnya adik Nazrin ini dapat diteruskan.
Saturday, April 14, 2007
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment