Melangkah ke menara gading merupakan impian dan harapan setiap insan yang bergelar pelajar beserta ibu-bapa mereka. Bagi adik-adik yang telah berjaya mendapatkan tempat untuk melanjutkan pengajian ke IPTA Kami Dewan Pemuda Pas Kawasan Kelana Jaya (DPPKJ) mengucapkan sedalam-dalam tahniah kerana anda adalah antara insan yang terpilih di kalangan ribuan calon yang memohon untuk mendapatkan tempat ke IPTA di seluruh negara. Ketahuilah bahawa penerusan pembelajaran ke menara gading bukanlah sesuatu yang baru, ianya merupakan suatu tradisi ilmu yang telah dipelopori oleh para cendekiawan dan ulama’ terdahulu dan anda bakal mahasiswa sekalian adalah penerus tradisi kecemerlangan tersebut. Justeru sangat penting untuk kita sama-sama menghayati dan memahami tujuan dan matlamat tradisi ini dimulakan.
Allah S.W.T. dalam surah Ali-Imran ayat ke 18 menyatakan:
“ Allah menyatakan bahawasanya tidak ada tuhan (yang layak disembah) melainkan Dia, yang menegakan keadilan. Para malaikat dan orang-orang yang berilmu (juga menyatakan demikian). …..”
Dalam firman tersebut Allah telah memuliakan golongan yang berilmu, ini jelas menunjukan dalam Islam golongan yang berilmu sangat dimuliakan. Malah bukan sahaja Allah memuliakan orang yang berilmu, manusia secara natural juga, menghormati orang yang berilmu di kalangan mereka. Ilmuan-ilmuan Islam yang dihormati seluruh dunia juga dimuliakan manusia kerana ilmu mereka tanpa mengira batasan agama, bangsa dan negara. Ibnu Sina, Al-Khawarizmi, Ibnu Batutta dan sebagainya bukan sahaja terkenal di kalangan umat Islam malah keilmuan mereka diiktiraf seluruh dunia.
Maka diharapkan agar adik-adik bakal mahasiswa sekalian pergunakan peluang ini untuk menimba seberapa banyak ilmu dan pengalaman ketika bergelar mahasiswa nanti. Rebutlah sebanyak mungkin peluang ilmu yang terhidang, elakkan dari hanya tertumpu kepada silibus pengkhususan kita. Rebutlah juga peluang membina keyakinan diri, kemahiran berkomunikasi, serba sedikit ilmu agama (fardhu ain) dan lain-lain ilmu sebagai bekalan kita selepas keluar dari alam kampus nanti.
Ilmu-ilmu inilah nanti bakal menyediakan kita untuk kembali berbakti kepada masyarakat. Justeru rebutlah peluang ini, samada melalui dewan-dewan kuliah, pengajian di masjid atau surau, seminar dan konvensyen ataupun melalui keterlibatan dengan pelbagai aktiviti berpersatuan. Kerana kehadiran anda semua bukanlah sekadar mengejar segulung ijazah, namun kalian hadir dengan himpunan harapan ibu bapa dan juga masyarakat secara umumnya. Kalian diharapkan dapat menimba ilmu semaksimum mungkin dan kembali berbakti kepada masyarakat dengan ilmu yang diperolehi. Bak kata keramat yang sering dilaungkan
“ Dari masyarakat kami datang, kepada masyarakat kami kembali.”
Adik-adik bakal mahasiswa yang kami kasihi,
Kampus universiti adalah satu alam baru yang berbeza dengan alam persekolahan. Di sana anda akan mendapati bahawa sistem pembelajaran dan cara hidup sungguh berbeza sekali dengan di sekolah. Jika di sekolah segala-galanya akan diuruskan oleh ibu-bapa, segala-galanya akan ditentukan oleh guru. Namun di alam kampus ianya tidak lagi. Adik-adiklah yang akan menyusun sendiri jadual kuliah, menguruskan segala-gala hal yang berkaitan dengan pendaftaran dan sebagainya. Maka nasihat kami di sini, sentiasalah mendapatkan nasihat daripada abang-abang atau kakak-kakak senior dan juga pensyarah berkenaan masalah yang dihadapi. Selain daripada itu adik-adik juga boleh mendapat khidmat nasihat daripada penasihat akademik yang dilantik di kalangan pensyarah.
Selain daripada itu bagi adik-adik yang belum pernah bersekolah di asrama penuh, sebelum ini segala makan dan minum, pakaian dan perbelanjaan masih lagi bergantung kepada ibu-bapa sepenuhnya. Namun apabila adik-adik semua melangkah ke alam kampus nanti, andalah yang akan menguruskan perbelanjaan makan, minum dan segala keperluan diri. Maka nasihat kami ambillah peluang ini untuk belajar berdikari, menguruskan diri tanpa mengharapkan bantuan daripada bantuan ibu dan bapa. Belajarlah mengurus kewangan dengan bijak dan berhemat.
Alam kampus juga adalah alam baru yang mungkin asing bagi kalian. Di sana akan terdapat pelbagai perkara baru yang kalian akan alami. Bagi mereka yang tidak biasa ianya akan menimbulkan satu fenomena yang disebut sebagai kejutan budaya kerana di alam kampus inilah akan bertembung segala macam budaya, peradaban, ideologi serta pemikiran, ada yang positif dan ada juga yang negatif. Walaupun kampus universiti dikenali sebagai gedung ilmu, medan intelek namun ianya juga tidak lari daripada diresapi oleh unsur-unsur tidak sihat seperti keruntuhan akhlak dan budaya hedonisme yang merosakkan imej mahasiswa sebagai intelek muda negara. Maka nasihat kami kepada adik-adik semua, bekalkanlah diri dengan keteguhan iman agar tidak terpengaruh dengan anasir-anasir yang negatif ini, pilihlah rakan-rakan yang boleh membawa anda ke arah kebaikan dan sentiasalah bersama dengan kumpulan mahasiswa yang inginkan Islam.
Akhir sekali suka kami nyatakan bahawa kehidupan di alam kampus ini menjanjikan seribu satu cabaran dan dugaan yang pastinya akan membentuk kita menjadi insan yang lebih matang sekiranya kita berjaya melaluinya dengan jaya. Ianya bukan sepertimana yang sering dinukilkan dalam kisah novel cinta ataupun drama –drama cinta, tetapi ianya menuntut kekentalan semangat, kebijaksanaan mengurus masa dan kewangan, keutuhan jatidiri serta semangat juang yang tinggi. Sekali lagi DPPKJ mengucapkan selamat menghadapi suatu alam yang mencabar tetapi cukup menarik untuk ditempuhi. Kami juga sentiasa mendoakan adik-adik semua berjaya menempuhi alam ini dan pulang dengan segulung ijazah ditangan dan limpahan ilmu di hati. Selamat mengharungi dunia kampus !!!
-= Berilmu, Beriman, Beramal, Berjuang =-
No comments:
Post a Comment