Saturday, March 31, 2007

PERSEPSI SALAH TERHADAP NEGARA ISLAM TELAH TERUNGKAI SATU PERSATU - TUAN HJ. MOHD SABU

Pada masa dahulu Islam sering diberi gambaran salah oleh penjajah British yang diikuti oleh parti pemerintah Barisan Nasional yang mewarisi tampuk pemerintahan selepas kemerdekaan. Antara persepsi tidak benar yang disering dilemparkan kepada Islam ialah kemunduran, penindasan terhadap wanita dan penafian hak terhadap masyarakat bukan Islam.

Inilah salah satu perkara yang telah disebut oleh Tuan Haji Mohd Sabu, Naib Presiden Pas pada Majlis Penerangan Pas Kawasan Kelana Jaya 29 Mac yang lalu. Program yang dianjurkan oleh Lajnah Penerangan dan Dakwah Pas Kawasan Kelana Jaya dengan kerjasama Dewan Pemuda Pas Kawasan Kelana Jaya itu telah diadakan di Markaz Cawangan Kg. Lindungan bertujuan untuk memberikan penerangan berkenaan isu semasa kepada penduduk di sekitar Parlimen Kelana Jaya.

Menurut Hj. Mohd Sabu lagi kini segala persepsi salah terhadap Islam ini telah terbukti tidak benar dan ianya tidak lagi menjadi senjata yang ampuh bagi Barisan Nasional untuk menyekat kemaraan Pas di negara ini. Oleh itu jelas beliau cara terbaru yang digunakan oleh Umno dan Barisan Nasional dalam menghadapi kemaraan Pas dan Pakatan Alternatif ialah dengan menyempitkan saluran demokrasi. Turut disentuh oleh beliau yang juga Pesuruhjaya Pas Pulau Pinang pada malam itu ialah berkenaan dengan amalan rasuah dan penyalahgunaan kuasa yang kini semakin berleluasa hingga ke peringkat BPR sendiri.

Turut berucap pada malam itu ialah Yang Dipertua Pas Kawasan Kelana Jaya yang juga Ketua Penerangan Badan Perhubungan Pas Negeri Selangor, Sdr Roslan Shahir Bin Dato’ Mohd Shahir yang banyak menyentuh berkenaan isu-isu di Negeri Selangor. Program ceramah yang berakhir Jam 11.30 Malam itu telah berjalan dalam keadaan lancar dan terkawal walaupun tanpa kehadiran ramai anggota pasukan keselamatan.

No comments: