Monday, July 23, 2007

ISU BANTAHAN PROJEK PEMBANGUNAN DI TAMAN REKREASI SUBANG JAYA.

SUBANG JAYA 22 Julai – Bantahan majoriti penduduk Subang Jaya berhubung hasrat sebuah syarikat pemaju hartanah untuk mengorbankan kawasan rekreasi di Taman Subang Ria, di sini menjadi pembangunan komersial akan dibawa ke Mesyuarat Majlis Perbandaran Subang Jaya (MPSJ) dalam tempoh terdekat.

Yang Dipertua MPSJ, Adnan Md. Ikshan, berkata cadangan untuk membangunkan kawasan seluas 29.3 hektar itu secara komersial dengan pembangunan bercampur mendapat bantahan daripada penduduk kerana dikhuatiri merosakkan alam sekitar kawasan tersebut.

‘‘Pada 16 Julai lalu, seramai kira-kira 1,700 penduduk telah hadir pada majlis pendengaran awam bagi meluahkan pandangan dan bantahan sebelum pembangunan ini dilaksanakan,” katanya kepada pemberita selepas majlis pendengaran tersebut di Holiday Villa, di sini baru-baru ini.

Tapak Taman Subang Ria dengan keluasan 29.3 hektar telah dipohon oleh pemaju berkenaan secara hak milik pajakan selama 99 tahun sehingga Februari 2087.
Cukai tahunan yang telah dibayar oleh pemilik ialah sebanyak RM41,264 dan sebahagian 15.05 hektar di sebelah barat telah dibangunkan sebagai taman rekreasi orang ramai manakala tanah seluas 14.3 hektar di sebelah timur turut dibuka kepada orang ramai sebagai kemudahan tambahan beriadah.

Sementara itu, wakil peguam yang dilantik penduduk, Derek J. Fernandez, mendakwa MPSJ gagal mengikut piawaian yang ditetapkan Dasar Perbandaran Negara yang mensyaratkan dua hektar tanah lapang untuk kepadatan 1,000 penduduk.

‘‘MPSJ sebaliknya masih menggunakan formula lama yang mana pada masa itu tiada pembangunan bertingkat iaitu 10 peratus dari setiap keluasan tanah dijadikan sebagai taman rekreasi.

‘‘Penduduk mencadangkan supaya kerajaan negeri membeli semula tanah ini daripada pemaju berkenaan memandangkan nilainya tidak terlalu tinggi kerana ia berstatus taman rekreasi dan pembangunan yang berkaitan dengan rekreasi,’’ katanya.
Derek menjangkakan, tanah tersebut jika ingin dibeli semula oleh kerajaan negeri, nilainya tidak lebih daripada RM10 juta.

‘‘Malah, jika kerajaan tidak mampu, penduduk menyatakan kesanggupan mereka menyumbangkan 50 sen untuk setiap RM1 yang dikeluarkan kerajaan negeri untuk membeli semula tanah tersebut asalkan ia tidak dimajukan dengan pembangunan komersial,’’ katanya.

Dipetik daripada akhbar Utusan Online - 23 Julai 2007


Siang tadi Dewan Pemuda Pas Kawasan Kelana Jaya telah meninjau di sekitar kawasan rekreasi Taman Subang Ria dan mendapati bahawa keadaan tempat riadah orang ramai ini amat tidak terurus dan memerlukan penyelenggaraan dan pembaik pulihan daripada pihak yang bertanggungjawab.

Bagi kami DPPKJ, Taman Subang Ria yang terletak di Subang Jaya ini adalah satu-satunya kawasan rekreasi bagi kemudahan riadah penduduk Subang jaya dan yang berhampiran dengannya. Melihatkan kepada kawasan sekitarnya yang masih lagi terpelihara dengan tumbuhan menghijau maka adalah tidak wajar untuk kawasan rekreasi ini dikorbankan semata-mata untuk dijadikan kawasan komersil.

Oleh itu DPPKJ menyokong usaha penduduk Subang Jaya dalam membantah tindakan yang akan memusnahkan kawasan tempat riadah keluarga ini dan turut memberikan harapan agar Mesyuarat Majlis Perbandaran Subang Jaya (MPSJ) yang akan diadakan dalam masa terdekat dapat mempertimbangkan bantahan yang dibuat oleh penduduk Subang Jaya itu.

No comments: