Thursday, November 08, 2007

Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Dr Hassan Ali turut menyerikan Majlis Hari Raya Pas dan PKR Kelana Jaya.

Majlis sambutan hari raya yang julung-julung kali diadakan bersama Pas dan PKR Kelana Jaya siang tadi telah mencipta keistimewaannya yang tersendiri apabila turut dihadiri oleh Penasihat Parti Keadilan Rakyat, Dato' Seri Anwar Ibrahim dan Pesuruhjaya Pas Negeri Selangor, Datuk Dr Hasan Ali. Program yang bertujuan untuk mengeratkan hubungan antara masyarakat setempat dengan Pas dan juga PKR ini telah diadakan di Kg Lindungan dan telah dihadiri hampir 1000 orang daripada pelbagai kaum.

Selain daripada Dato' Seri Anwar dan Dr Hasan Ali, turut hadir memeriahkan majlis berkenaan ialah Sdr Azmin Ali, YDP Pas Kawasan Kelana Jaya, Sdr Roslan Shahir Dato' Mohd Shahir, Ketua Bahagian PKR Kelana Jaya, Sdr Syed Shahir dan beberapa orang pimpinan sayap pemuda dan muslimat Pas serta PKR dan pimpinan NGO. Pada majlis itu juga Dato' Seri Anwar Ibrahim telah sudi untuk memberikan ucapan dan menyampaikan sumbangan duit raya kepada kanak-kanak penduduk setempat bersama-sama pimpinan yang lain.

Pada kesempatan ini juga promosi terhadap Himpunan BERSIH 10 November turut diadakan bagi mengajak rakyat bersama-sama dengan perhimpunan berkenaan yang tinggal hanya dua hari lagi.


No comments: