Gambar-gambar yang dipaparkan di atas ini telah diambil pada semalam 23 September 2006. Ianya adalah pemandangan biasa selepas hujan lebat di jalan utama PJS 6 simpang keluar ke Jalan Klang Lama ini. Walaupun semalam hujan lebat berlaku dalam jangka masa yang tidak lama namun ianya sudah cukup untuk menyebabkan banjir kilat di jalan yang menghubungkan Bandar Sunway dengan Jalan Klang Lama ini. Apabila berlakunya banjir kilat ini, menyebabkan kenderaan tidak dapat melalui jalan utama PJS 6 ini, kesesakan turut berlaku di Jalan Klang Lama berhadapan dengan Kontena Nasional Berhad.
Sebenarnya fenomena banjir kilat ini telah berlaku sejak dahulu lagi, sejak Penempatan Desa Mentari masih lagi menjadi penempatan setinggan dan sejak Petaling Jaya masih berstatus Majlis Perbandaran. Namun begitu apa yang dikesalkan walaupun Petaling Jaya telah pun berstatus Bandaraya, kejadian banjir kilat ini masih lagi berlaku. Saya percaya andaikata perkara ini berlaku di penempatan yang agak mewah seperti di Bandar Sunway, maka ianya tidak akan mengambil masa yang lama dan segera akan diatasi oleh pihak berwajib.
Tetapi inilah nasib yang menimpa penduduk-penduduk sekitar Kg. Lindungan dan Desa Mentari yang rata-rata penduduknya berpendapatan sederhana ini. Ketika cukai pintu akan dinaikkan ekoran taraf bandaraya yang dinikmati, keadaan banjir kilat ini masih lagi belum diatasi.
No comments:
Post a Comment