Thursday, November 09, 2006

BENARKAH SELANGOR SUDAH BEBAS SETINGGAN?




Menjelang perayaan Idulfitri yang lalu Kerajaan Negeri Selangor telah mengisytiharkan bahawa negeri itu telah bebas sepenuhnya daripada setinggan iaitu mencapai setinggan sifar seperti yang disasarkan. Namun begitu tinjauan kami baru-baru ini khususnya di sekitar Parlimen Kelana Jaya mendapati sebenarnya masih ada lagi terdapat saki-baki rumah setinggan yang masih lagi dihuni dan didapati bahawa penghuninya semua adalah penduduk tempatan sendiri. Mereka ini dipercayai tercicir daripada program pemindahan atas sebab tidak mampu untuk membayar deposit perumahan dan juga kos pemindahan.



Di samping itu juga walaupun kerajaan mengisytiharkan bahawa telah bebas setinggan tetapi kedai-kedai setinggan masih banyak lagi yang beroperasi terutamanya kedai-kedai yang menjalankan perniagaan barangan lusuh atau kedai besi buruk seperti yang tertera dalam gambar di atas ini. Untuk makluman kedai besi yang dipaparkan dalam gambar ini pernah mendapat liputan dalam sebuah akhbar harian pada awal tahun yang lalu kerana operasinya yang mengganggu lalu lintas. Namun begitu kedai ini masih lagi bebas beroperasi hingga ke hari ini.




Tinjauan kami secara dekat ke kedai berkenaan mendapati bahawa ianya dilengkapi dengan kemera litar tertutup yang dipercayai untuk menghidu kehadiran pihak berkuasa. Selain daripada itu juga berdasarkan kepada gambar-gambar yang terdapat dalam kedai berkenaan, kami percaya bahawa pemilik kedai barangan lusuh ini mempunyai hubungan yang rapat dengan seorang pemimpin tertinggi MIC. Oleh itu adalah tidak patut Kerajaan Negeri Selangor terus mengisytiharkan bebas setinggan tanpa terlebih dahulu turun padang untuk menyaksikan keadaan yang sebenar lebih-lebih lagi kesulitan yang terpaksa ditanggung oleh mereka yang berpendapatan rendah.

No comments: